Thursday 9 February 2012

Tabah Menghadapi Ujian Allah


Sumber Ihsan Encik Google..

"Apabila berhadapan dengan ujian, waktu itu akan terserlah penyakit-penyakit hati yang masih bersarang di dalam hati kita, seperti sombong, pemarah, hasad dengki, dendam dan lain-lain lagi.Penyakit hati ini mungkin tidak terkesan dalam suasana yang selesa tetapi ia akan terasa dan terserlah apabila hati kita tertekan.Setiap takdir Tuhan ada hikmahnya untuk kebaikan manusia itu juga. Terimalah ujian dari Tuhan secara positif, hati kita akan tenang."

Sebagai makhluk yang diciptakan, sedikit pun kita tidak ada kuasa untuk menolak ketentuan Tuhan.Kalau Tuhan mahu kita sakit, walau bagaimana sekali pun kita cuba menjauhi penyakit, kita tetap akan jatuh sakit. Kalau Tuhan tidak mahu kita jadi kaya, walau bagaimana sekali pun kita mengusahakan kekayaan, ia tidak akan dimiliki juga.
Lantas, persediaan apa yang perlu kita buat untuk menghilangkan tension ketika menghadapi pelbagai bentuk nasib 'malang' yang pasti menimpa kita? Antaranya ialah:

1. Mengenali diri kita sebagai penerima nasib malang itu dan juga mengenali Tuhan sebagai memberinya. Kita harus kenal bahawa diri kita adalah hamba ciptaan yang sangat lemah dan tidak ada apa-apa.Malah dalam penciptaan diri kita sendiri, kita tidak ada campurtangan, tidak ada tanam saham, langsung tidak ada memberi modal sama sekali. Keputusan untuk mencipta diri kita sendiri pun semuanya dibuat oleh Tuhan. Selain daripada seluruh badan kita yang begitu unik dan kompleks itu, Tuhan jugalah yang memberi kita daya usaha, fikiran dan perasaan. Lantaran itu, apabila Tuhan timpakan sesuatu kesusahan ke atas diri kita, inilah peluang untuk kita sedar bahawa diri kita adalah hamba yang lemah dan tidak punya apa-apa kuasa. Mungkin selama ini kita rasa berkuasa, rasa mampu dan rasa boleh, sehingga kita terlupa untuk bergantung dan berharap kepada Tuhan.

2. Setiap takdir Tuhan ke atas kita, selain kekufuran, semuanya mengandungi hikmah dan pengajaran. Antaranya ialah:

a. Kalau Tuhan sekali-sekala sakitkan kita, sudah tentu ada maksud yang baik dari Tuhan. Antara maksud-maksud baik Tuhan ialah Dia hendak hapuskan dosa kita, Dia mahu kita insaf di atas kelemahan diri kita, Dia mahu kita ingat-ingatkan kesalahan kita dan membaikinya serta bertaubat, Dia mahu kita rasai penderitaan orang lain agar kita menjadi orang yang lebih prihatin dan simpati. Dia juga mahu kita lebih bergantung dan berharap kepada-Nya.

b. Kalau Tuhan sekali-sekala miskinkan pula, tentu ada maksud pendidikan juga. Mungkin Dia mahu kita mendapat pahala sabar kerana miskin. Dia mahu kita rasai penderitaan orang miskin. Dan tentunya Dia mahu kita meneliti balik segala tindak-tanduk kita, apakah kita sudah melakukan apa-apa kesalahan dan kesilapan yang menyebabkan Tuhan tidak membantu kita.

c. Begitu juga apabila kita sekali-sekala dihinakan. Mungkin Tuhan mahu kita bertaubat kerana kita pernah menghina atau menzalimi orang lain ataupun Dia mahu kita ungkai rasa sombong yang bersarang di dalam hati kita. Atau Tuhan sengaja memberi kesusahan itu kerana Dia mahu mengangkat darjat kita di sisi-Nya.

d. Apabila berhadapan dengan ujian, waktu itu akan terserlah penyakit-penyakit hati yang masih bersarang di dalam hati kita, seperti sombong, pemarah, hasad dengki, dendam dan lain-lain lagi. Penyakit hati ini mungkin tidak terkesan dalam suasana yang selesa tetapi ia akan terasa dan terserlah apabila hati kita tertekan. Penyakit-penyakit inilah yang membuatkan kita tension. Bila tension, barulah kita tahu kita siapa. Kalau sebelum ini nampak lemah lembut, bila tension kita boleh jadi marah-marah tak tentu pasal. Kalau selama ini nampak sabar sahaja, bila tension kita boleh bertindak di luar batasan. Pendek kata, segala sesuatu yang ditimpakan ke atas kita adalah untuk kebaikan diri kita. Dia mahu mendidik setiap kita agar kita kembali kepada-Nya sebagai hamba yang diredhai-Nya. Dengan ini, kita akan terselamat dari kemurkaan-Nya.

3. Hendaklah pandai menerima ketentuan dan takdir Tuhan secara positif supaya hati kita akan tenang dan kita juga akan mendapat hasil yang positif daripadanya. Sebaliknya, kalau kita menerimanya secara negatif, hati kita akan tertekan dan tension dan sudah tentu kita juga akan
mendapat hasil yang negatif.

Penerimaan yang negatif pula ialah kita akan merungut-rungut kerana nasib yang ditimpakan itu, kita akan bersikap marah-marah serta melepas geram

Lantaran itu, terimalah segala takdir Tuhan dengan sebaiknya. Anggaplah setiap takdir itu sebagai didikan terus dari Tuhan dengan penuh kasih sayang. Dengan sikap sebegini, hati tidak akan tension, kita dapat menambah rasa kehambaan serta dapat pula mengungkai sifat-sifat yang tidak baik dalam diri kita dengan lebih cepat. Malahan kita juga tidak akan mengakibatkan kesan tidak baik kepada orang di sekeliling kita.

Dari En Google lagi..
"Ya Allah, dunia yang Engkau hamparkan ini indah, tetapi durinya sering menusuk. Nikmat yang Kau berikan takkan dapat untukku menghitungnya. Tetapi ya Allah, hambaMu ini sering alpa dan lena dek buaian mimpi yang tak sudah. Ya Allah, ujian yang Engkau berikan terasa begitu memeritkan, kadangkala ianya menguji kesabaran dan keimananku yang terkadang nipis, senipis kulit bawang. Ya Allah, jika ini ujian yang harus untukku lalui, bantulah aku. Agar aku tidak tersasar dari jalanMu. Agar aku bersyukur dengan ujianMu ini ya Allah"
Buat insan yang sedang diuji, bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama-sama kamu. Percayalah, Allah mendengar segala tangisan dan kesedihanmu itu. Ingatlah ujian Allah ini bukan satu penyiksaan, tetapi hakikatnya engkaulah insan yang terpilih. Bersyukurlah kerana diantara yang lain kita insan terpilih untuk diuji sedangkan orang lain langsung tidak tersenarai. Besarnya kasih sayang Allah pada kita. Engkaulah insan yang layak menerima rahmat dan keredhaanNya, sekiranya engkau sabar dan redha.
**Sumber dari Iluvislam.com 

! Terima Kasih Membaca Entry Ini kawan !

No comments: